Saturday, 9 May 2009

Suplemen Homeopati Baik Untuk Ibu Mengandung?

Oleh Shuhaida Mohd Said

ALOR SETAR, 5 Mei (Bernama) -- Keletihan serta alahan yang serius merupakan satu fenomena yang sering dialami segelintir wanita hamil terutama mereka yang hamil buat kali pertama.

Situasi ini seringkali mengganggu emosi wanita bermula dari awal usia kandungan sehinggalah detik melahirkan anak.

Pelbagai jenis suplemen seperti multi-vitamin yang dibekalkan oleh doktor diambil untuk mengurangkan masalah berkenaan, termasuklah yang popular di pasaran iaitu rumusan berasaskan homeopati.

Hasil perkembangan teknologi perubatan, pelbagai jenis makanan kesihatan tambahan diperkenalkan dan setiap suplemen dipercayai mempunyai kelebihan tersendiri.

RUMUSAN HOMEOPATI

Pengamal perubatan homeopati Dr Husna Azizan berkata, antara hasil perkembangan teknologi perubatan termasuklah pengenalan kepada rumusan homeopati, biokimia dan herbalisme.

"Terdapat pelbagai jenis produk homeopati untuk wanita hamil yang berasaskan alam semulajadi, mineral dan galian di pasaran tempatan", katanya kepada Bernama disini.

Dr Husna berkata rumusan pemakanan homeopati dipercayai mampu membantu kaum ibu menjalani pengalaman hamil dengan lebih selesa dengan membekalkan zat tambahan yang memberi lebih tenaga kepada mereka.

"Rumusan homeopati membekalkan zat besi mudah hadam untuk wanita hamil, mengurangkan muntah, loya serta alahan, mencegah demam, batuk, selesema, sakit kepala dan sakit gigi.

"Pengambilan rumusan homeopati juga dipercayai dapat merangsang pembinaan saraf dan otak bayi semasa dalam kandungan lagi", kata Dr Husna.

KELEBIHAN HOMEOPATI

Dr Husna berkata wanita hamil yang mengambil suplemen homeopati yang lengkap dengan kandungan zat besi juga akan lebih bertenaga, cerdas dan dapat mengawal emosi agar sentiasa tenang.

Ia juga dipercayai dapat mengurangkan sakit serta memudahkan kelahiran bayi di samping dapat menghilangkan rasa takut serta cemas kepada bakal ibu, katanya.

Beliau berkata wanita hamil sangat digalakkan mengambil suplemen seperti rumusan pemakanan homeopati bagi memastikan emosi serta kesihatan bakal ibu berada pada tahap yang baik.

"Keadaan kesihatan ibu akan mempengaruhi tahap kecerdasan anak di dalam kandungan dan sekiranya ibu sentiasa sihat dan cergas, bayi juga akan sihat dan cergas", katanya.

Beliau berkata sebaiknya suplemen homeopati diambil setelah kandungan mencecah usia tiga bulan ke atas.

Dr Husna berkata ia juga dapat membantu menyusun semula alat peranakan di samping menguatkan seluruh anggota tubuh yang terjejas akibat proses bersalin.

Katanya, pengambilan rumusan homeopati juga boleh diteruskan sehingga lepas bersalin untuk membantu melegakan luka, menghilangkan sengal serta bisa-bisa selepas bersalin.

PANDANGAN PAKAR

Sementara itu Pakar Ginekologi dan Obstetrik di Kedah Medical Centre, Dr Kamaruzaman Ali berkata setiap wanita hamil perlu berwaspada dalam memilih apa saja rumusan makanan tambahan termasuk homeopati.

Beliau berkata, tempoh tiga bulan pertama kandungan adalah sangat kritikal dan bakal ibu seharusnya peka dan tidak terlalu ghairah mengambil pelbagai makanan tambahan yang kononnya menjamin kesihatan bayi yang dikandung.

"Bagi saya, multi-vitamin yang selalu dibekalkan doktor sudah mencukupi kerana dari segi prinsip homeopati, ia melibatkan penggunaan steroid dalam dos yang rendah untuk meningkatkan sistem imun untuk melawan penyakit dan kadang-kadang ia hanya mengandungi zat besi semata-mata.

"Yang penting ialah mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil apa-apa suplemen kerana dalam perubatan moden pun ibu hamil perlu berwaspada tentang ubatan kerana ia mungkin membahayakan kesihatan kandungan," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments: