Sunday 21 September 2008

Mahathir Cadang Tambatan Ringgit Diadakan Semula

by: Shuhaida Mohd Said

SINTOK, 20 Sept (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya tambatan ringgit diadakan semula untuk mengurangkan impak krisis ekonomi dunia terhadap mata wang negara.

Beliau berkata turun naik nilai mata wang pada masa kini memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi negara, justeru kerajaan tidak seharusnya meneruskan pengurusan apungan terurus ke atas ringgit.

"Kita harus tentukan nilai mata wang dan saya berpendapat kerajaan tidak patut mengapungkan ringgit sebab ia merugikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pembangunan Institut Pengajian Tinggi Peringkat Kebangsaan di Executive Development Centre (EDC), Universiti Utara Malaysia di sini hari Sabtu.

Dr Mahathir berkata tindakan memperkenalkan instrumen kewangan itu sebenarnya mampu memperkukuh ekonomi negara serta mencetus perubahan struktur dalam ekonomi tanpa perlu bergantung kepada model pakar ekonomi Barat.

Sekiranya ekonomi Amerika Syarikat merosot, Malaysia yang menjadi antara rakan perdagangan utama akan turut menerima kesan buruknya, katanya ketika diminta mengulas mengenai situasi ekonomi negara pada masa kini.

Sementara itu bekas Perdana Menteri itu berkata imbangan dagangan memang masih memihak kepada negara kerana harga bahan mentah seperti sawit dan minyak berada pada tahap yang tinggi.

"Tapi ia tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran saham," katanya.Pada 1997, kadar tukaran ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah terhadap kawalan tukaran asing berpilih bagi mengekang tekanan luar yang menyebabkan ekonomi negara terjerumus ke dalam kemelesetan.

Bagaimanapun pada 21 Julai 2005, kerajaan memansuhkan tambatan ringit dan nilai ringgit kemudiannya ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Selepas pemansuhan itu, urus niaga mata wang dibuka untuk dagangan dan ia meningkat perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pengembangan perdagangan selepas ditolak sebarang turun naik mata wang.

Selain itu Dr Mahathir turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah panel khas yang terdiri daripada bukan sahaja ahli politik sebaliknya pakar-pakar lain yang mahir dalam pelbagai bidang.

"Tugas panel itu adalah untuk meneliti semua angka-angka ekonomi dan perlu memahaminya sebelum membuat apa-apa dasar untuk mengatasi kemerosotan ekonomi," katanya.
-- BERNAMA
SMS SMS