Friday 25 July 2008

my luv kiki :-)

kiki sekarang dah besaq dah.. 2hb depan genap la enam bulan.. sat ja rasanya...
setakat la nih aku tengok, fizikal dia banyak ikut abah dia, tapi kadang2 ada juga iras2 aku. hehe... yang pastinya perangai sejibik macam aku da.. hehe..


kiki nih ringan mulut, pot pet pot pet.. dia akan merengek kalu orang tak communicate dengan dia. kiki suka sangat kalu besembang dengan wan dia. kalu wan or tok dia dukung cousin dia, mula la nak jibek muka tu.. jeles la kunun.. haha... budak tecik tonet nih juga suka sangat senyum, pantang orang teguq, senyum sampai ke telinga.. tapi dia pantang nampak muka lelaki yang ganaih, satgi dia mesti jibek punya...

masa kiki 4 bulan ritu, dia dah bleh menerap. la nih dok tegolek-golek, akat bontot nak merangkak la plak kot.. baguih jugak perkembangan dia la nih.. arap2 cepat la dia bleh jalan.. InsyaAllah.. start bulan depan kiki dah bleh amik makanan sampingan. so la ni aku dok pikiaq la nak bagi dia makan apa.. sereyau pun ada, takut tak sesuai...

tu jalah serba skit cita pasai kiki.. nih latest gambaq dia...









Thursday 17 July 2008

Tukar Kerajaan, Negeri Tetap Aman


SEBAGAI rakyat yang berada dalam sebuah negara berbilang kaum, saya bersyukur dengan nikmat keamanan yng diberikan oleh Allah SWT.Siapa pun yang menjadi kerajaan maka mereka tetap bertanggungjawab mengekalkan keharmonian dan keamanan tersebut. Sejak sekian lama rakyat dimomokkan dengan dakyah bahawa jika parti tertentu memerintah, maka negara akan huru hara.Apa yang berlaku ialah bukan setakat tidak tercetus huru hara apabila berlaku pertukaran kerajaan, sebaliknya rakyat terus hidup dalam suasana harmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain.


Apa yang kita lihat sekarang nampaknya menjawab khurafat politik yang berlaku sejak sekian lama iaitu hanya parti tertentu saja layak memerintah, parti lain tak layak.Sebenarnya banyak lagi tohmahan lain yang dikumandangkan sebelum ini, nampaknya terjawab satu persatu. Antaranya ialah, jika pihak tertentu memerintah maka ekonomi negeri akan teruk kerana pelabur lari. Apa yang berlaku ialah pelabur berpusu-pusu datang.


Saya menyeru rakyat supaya jadilah orang yang sentiasa berfikir, kerana orang yang bijak adalah orang yang berfikir dan tidak mudah menelan bulat-bulat segala maklumat yang diterima.

-quoted Man Baloi, Jenan. - warta darulaman-



Tuesday 15 July 2008

BELASUNGKAWA - DATUK PADUKA AHMAD BASRI AKIL

***dalam kenangan... malam penuh bermakna sempena pembebasan DAB (selepas digantung FAM) pada 2005

Al-Fatihah....
Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa, Dato' Paduka Ahmad Basri Akil telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi setelah terjatuh di Istana. Pemergian Bapa Bolasepak Negeri Kedah yang menjadi lambang kepada Kebangkitan bolasepak Kedah ternyata menjadi satu kehilangan yang amat sukar dicari ganti. Beliau juga merupakan penaung kepada HKC.
Marilah sama-sama kita mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah kepada Roh Beliau dan semoga beliau ditempatkan di kalangan Insan soleh dan beriman.
Sekalung Takziah dari Warga HKC kepada keluarga beliau.
Al-Fatihah...

Monday 14 July 2008

SAMBUTAN JUBLI EMAS SINGKAP KESULTANAN MELAYU KEDAH SEJAK 900 TAHUN LALU
Oleh Shuhaida Mohd Said

ALOR STAR, 14 Julai (Bernama) -- Sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah esok, menyingkap kembali sejarah kesultanan lebih 900 tahun lalu yang bermula dengan pemerintahan Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1136.

Sehingga hari ini terdapat 28 orang Sultan yang silih berganti mewarisi takhta kesultanan paling tua di dunia itu.

Terdapat lapan buah pusat pemerintahan di seluruh negeri Kedah iaitu Kota Bukit Meriam (1136-1236), Kota Sungai Emas (1236-1323), Kota Siputih (1323-1626), Kota Naga (1626-1654), Kota Sena (1654-1664), Kota Bukit Pinang (1687-1735) dan Kota Star (1735 sehingga kini).

Esok takhta kesultanan Kedah memasuki era amat bersejarah apabila pemerintahan Sultan Abdul Halim genap usianya 50 tahun.


Sultan Abdul Halim merupakan Sultan Kedah yang keempat menyambut Jubli Emas semasa pemerintahan berada di atas takhta.

Sultan-sultan sebelumnya ialah Sultan Kedah kelapan, Sultan Ataullah Muhammad Shah (1423-1473), Sultan ke-19 Sultan Zainal Adilin Mu'adzam Shah (1710-1778), dan Sultan ke-26 Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943).

Sultan Abdul Halim yang diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit di sini, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid serta bersemayam di asrama pada 1946 sehingga 1949.

Pada Februari 1949, baginda berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran dan selepas selesai kursus persiapan, baginda diterima masuk ke Wadham College di Oxford, London pada 1952 dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Ketika masih menuntut di England, Sultan Abdul Halim ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949.

Tidak seperti kebanyakkan putera raja yang lain, baginda memilih untuk berkhidmat sebagai penjawat awam di Pejabat Daerah Kota Star dan Perbendaharaan Kedah setelah kembali ke tanah air pada 1955.

Mulai 9 Mac 1957 hingga 3 Julai 1957, Sultan Abdul Halim memangku jawatan Sultan Kedah kerana ayahandanya Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid, berangkat ke luar negara.

Baginda menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan Sultan Badlishah, dan ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959 manakala Almarhum Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Sultanah Kedah.

Baginda mempunyai pejabat di pusat pentadbiran negeri, Wisma Darulaman dan memasuki pejabatnya seperti kakitangan kerajaan lain bermula pada pukul 8 pagi hingga tamat waktu pejabat harian.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, hasil perkongsian hidup dengan Almarhumah Sultanah Bahiyah pada 10 Mac 1956, baginda dianugerahkan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, 44, Tunku Sarina (mangkat pada 31 Ogos 1991) dan Tunku Datuk Seri Intan Safinaz, 39.

Baginda juga berkahwin dengan Sultanah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975.

Sempena sambutan Jubli Emas ini, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata kerajaan negeri mengaturkan pelbagai acara bagi memeriahkan perayaan itu.

Katanya, kerajaan negeri juga telah bersetuju dengan cadangan untuk membina sebuah taman awam sebagai lambang mengabadikan sambutan Jubli Emas 50 tahun pemerintahan baginda.

Syed Unan Mashri memberitahu, taman seluas 20 hektar tersebut bakal menjadi tanda kasih sayang kerajaan negeri dan rakyat kepada Sultan Kedah sebagai sultan yang mencurahkan usia 50 tahun baginda untuk berkhidmat.

"Sejarah gemilang pemerintahan Tuanku (Sultan Kedah) dan juga 27 orang sultan-sultan terdahulu yang menjangkau hampir 1,000 tahun akan diabadikan di dalam reka bentuk 'Batu Bergambar' dan 'Batu Bersurat' yang menghiasi taman ini.

"Di atas 'Batu Bergambar' akan diukir sejarah Perlembagaan Pembangunan Negeri Kedah Darulaman sepanjang tempoh Sultan Kedah menaiki takhta sehingga sambutan Jubli Emas," katanya.
-- BERNAMA