Saturday 28 September 2013

aku yg sedih melampau ='(



Penulis (depan, dua kanan) bersama rakan media bergambar bersama Ustaz Azizan selepas mesyuarat Exco terakhir sebelum PRU13 (3 April). Ketika itu Ustaz Azizan sempat berseloroh, “Mana tau, ni (gambar) yang terakhir dengan kamu semua”. - (aku yg tesengih riang sebelah arwah.)
 
TANGGAL 24 Ogos 2013 pasti terpahat dalam memori saya kerana itulah kali pertama bertentang mata dengan Ustaz Azizan sejak beliau dimasukkan ke hospital akibat komplikasi diabetik.

Sebaik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang selepas menziarahi Ustaz Azizan di wad ICU (HSB), saya dibenarkan melawat, ditemani bekas Setiausaha Politik beliau, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa ahli Pas yang turut berada di situ.

Sebaik melangkah ke bilik yang menempatkan Ustaz Azizan, hati tidak sekuat yang saya sangka.

Saya berdiri disisi Ustaz Azizan tanpa berkata-kata, hanya renungan yang mampu saya berikan.

Sedangkan dalam benak ini, banyak yang ingin saya katakan.

Ustaz Azizan ketika itu membuka mata apabila Muhammad Sanusi memanggil, “Ustaz, Linda Sinar mai tengok ustaz".

Ustaz Azizan merenung lama wajah saya. Saat itu, tidak tertahan air mata ini mengalir laju ke pipi.

Saya cuba berbual dan meluahkan beberapa patah perkataan, namun tak dapat diteruskan…

Muhammad Sanusi sekali lagi bertanya kepada Ustaz Azizan, “Ustaz ingat dak?”.

Ustaz Azizan membalas “Ingat”.

Arwah tetap merenung saya dengan kelopak matanya yang kuyu, seakan menggagahi diri untuk berbual.

Tiba-tiba Ustaz Azizan berkata, “Terima kasih” (kerana datang).

Sebaik sahaja kata-kata itu diucapkan, saya tidak mampu lagi bertentang mata dengan pemimpin berjiwa besar ini, yang cukup kuat melawan derita ketika itu.

Saya segera meminta diri dan berdiri seketika di luar pintu, cuba menenangkan diri.

Jururawat seolah-olah memahami perasaan saya dan memaklumkan kondisi Ustaz Azizan ketika itu.

Kali kedua saya menziarahi Ustaz Azizan ialah ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawatnya semasa kunjungannya ke Kedah sempena Multaqa Ulama pada 15 September lalu.

Waktu itu, saya agak panik melihat pelawat dikehendaki memakai pakaian khas dan sarung tangan jika masuk ke bilik.

Disebabkan itu, saya hanya melihat dari luar pintu perbualan dua sahabat itu. Sekali lagi, air mata tidak dapat ditahan, lalu saya beredar dan menanti di ruang legar ICU.

Kali ketiga hajat saya tidak kesampaian.  Saya menelefon isteri Ustaz Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah (yang lebih mesra dengan panggilan Tok Puan), memaklumkan untuk hadir melawat.

Sebaik tiba di pintu masuk ICU, saya sekali lagi menelefon Tok Puan memaklumkan sudah tiba, namun jawapan dari Tok Puan amat mengejutkan: “Nak tengok apa Linda; dah tak ada”, sayu tutur katanya.

Sehari sebelum sakit

Saya masih ingat kali terakhir berjumpa Ustaz Azizan sebelum beliau jatuh sakit.

Ketika itu hari mengundi PRU13 (5 Mei 2013). Tepat jam 9 pagi saya sudah berada di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di mana Ustaz Azizan mengundi.

Puas kami (media) menunggu hingga tengah hari, namun kelibat Ustaz Azizan tidak kelihatan. Saya menekan nombor telefon berkali-kali, tetapi semuanya masuk pesanan suara.

Terdetik di hati seolah-olah ada yang tidak kena, namun pegawai Ustaz Azizan hanya memaklumkan beliau lewat kerana singgah di beberapa lokasi untuk jumpa pengundi.

Saya akur walaupun tahu benar itu bukan stail Ustaz Azizan. Ketika itu, saya antara percaya dengan tidak dengan alasan yang diberi.

Tetapi, demi tugas, saya tetap menunggu hingga jam hampir 1 petang.

Pada masa sama, saya terus menekan nombor telefon hingga akhirnya Ustaz Azizan menjawab panggilan.

Saya bertanya: “Kenapa tak datang mengundi?”.

Ustaz Azizan lantas berkata: “Kurang sihat, demam; kaki pula sakit.”

Mendengar itu, saya menyarankan Ustaz Azizan berehat sahaja dan tidak perlu datang.

Namun Ustaz Azizan pula berkeras suruh kami (media) menunggu dan akan tiba dalam 20 minit.

Tidak sampai hati pula untuk hampakan harapan Ustaz Azizan.

Ketika beliau sampai, saya lihat Ustaz Azizan jalan berdingkit-dingkit, sambil dipimpin setia oleh pembantunya, Shahril Elham.

Wajahnya tetap ceria, walaupun ketika itu jelas sedang menahan kesakitan.

Itulah Ustaz Azizan. Beliau bagaikan lilin, sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Banyak situasi menunjukkan Ustaz Azizan banyak berkorban, sama ada dalam parti mahupun kerja.

Pada luarannya, nampak Ustaz Azizan seperti tegas dan perongos, tetapi hati beliau lembut dan banyak bertolak-ansur.

Walaupun mengenalinya hanya lima tahun (2008-2013), saya dapat memahami karakter beliau. Ia amat berbeza dengan pemimpin Pas lain, umpama satu dalam sejuta.

Kali pertama

Saya masih ingat waktu awal memulakan tugas di Kedah (2008) iaitu selepas peralihan kuasa. Saya sering kali disuruh ketua untuk dapatkan reaksi Ustaz Azizan bagi isu-isu semasa.

Ketaq perut setiap kali mahu menekan nombor telefon beliau sebab orangnya garang. Demi tugas saya beranikan diri, dapat dua tiga patah pun sudah cukup untuk 'goreng' berita.

Disebabkan terlalu kerap menelefon, suatu hari, pada sidang media di Wisma Darul Aman, Ustaz Azizan bertanya, “Mana satu Linda?”.

Saya ketika itu berada di barisan belakang, terus berkata: “Ya, saya”.

Rakan media di hadapan membuka ruang untuk saya ke depan.

Saya tersengih tak tahu nak kata apa. Azizan dengan wajah serius, bersuara: “Kamu ni, duk telefon saya. Saya marah, kamu telefon lagi. Saya marah lagi, kamu telefon juga. Saya dah tak tau nak marah macam mana lagi”.

Kata-kata itu tak pernah saya lupa kerana sejak itu jugalah hubungan saya dengan arwah semakin baik, dan arwah mula beri kerjasama.

Ada kala, ketika bertanya isu panas, sebelum Ustaz Azizan memberi ulasan, sudah tentu saya kena marah dulu.

Yang bestnya, selepas marah, Allahyarham akan memujuk dengan kata-kata jenaka, bagaikan seorang bapa bercakap dengan anaknya.

Ada juga rakan media yang dihamburi atau ditengking jika cuba dapatkan reaksi Allahyarham melalui telefon.

Dari hari ke hari, saya cuba membina hubungan lebih mesra antara media dan Ustaz Azizan.

Banyak pandangan saya berikan kepada Allahyarham supaya hubungan beliau dengan media menjadi lebih diplomasi dan relaks.

Sejak itu Ustaz Azizan dilihat semakin bersikap terbuka dengan media.

Beliau sebenarnya bukan tidak mesra media pada awalnya, tetapi sebenarnya beliau kecewa kerana banyak kenyataannya di putar belit.

Setiap kali berita Ustaz Azizan terpampang di dada akhbar yang tidak menyenangkan, setiap kali itu juga Allahyarham menghubungi saya untuk memberi kenyataan balas atau sekadar meluahkan perasaan.

Namun sebagai bekas Pengarah Urusan Harakah, Ustaz Azizan akur dan faham dengan pendirian setiap akhbar di negara ini.

Sebab itu, Allahyarham tidak melatah tetapi ambil sikap malas nak layan. Jika Ustaz Azizan berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja, pagi-pagi lagi beliau menghubungi saya untuk bertanya khabar Kedah, apa yang berlaku sepanjang ketiadaan Allahyarham.

Disebabkan itu juga, saya perlu sentiasa alert dengan apa yang berlaku kerana saya tahu Alllahyarham akan hubungi saya bila-bila masa sahaja.

Mungkin Ustaz Azizan mahukan perspektif berbeza satu-satu isu, di mana sebagai orang media, saya telus menceritakan dari semua sudut.

Kaya dengan perumpamaan unik


Paling saya suka sikap Ustaz Azizan yang gemar berjenaka, berseloroh tak kira masa.

Sidang media Allahyarham dinanti-nanti saya dan rakan-rakan media lain. Bukan apa, nak tahu apa pula perumpamaan dicipta pada hari itu.

Sampai ke hari ini, masih terngiang-ngiang riaknya yang bersahaja.

Pernah bila ditanya isu tanah, Allahyarham menjawab: “Nak potong tanah bukan macam potong tepung talam. Ukur-ukur potong. Nak kena sukat, ambil masa”.

Jika bertanya pula isu calon PRU13, jawabnya: “Macam nak tangkap ikan la. Ada masa kita guna jala, pukat, bubu, pancing. Banyak cara.”

Paling tidak dapat saya lupa, perumpamaan ‘Ibarat beruk atas pokok cermai’, yang mengundang ketawa semua yang hadir.

Ustaz Azizan, secara berseloroh, menggambarkan situasi itu kepada Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, yang sering mendesaknya menjelaskan isu-isu semasa.

Balas Ustaz Azizan spontan: “Kamu tahu pepatah Melayu ada kata ‘jangan usik beruk atas pokok cermai’. Beruk atas pokok cermai, dia tengok kita dia usik kita, kita pun tengok. Jika kita sama layan dia, dia lagi syok goncang pokok sampai habis jatuh buah dan daun cermai. Jadi tak payah layan. Jika kita layan sampai bila pun tak habis.”

Itulah antara kenangan yang begitu sentimental buat saya. Pemergiannya ditangisi, kehilangannya dirindui.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Amin…

Nukilan,
Roslinda Hashim
(Wartawan Kanan, Sinar Harian Utara)

Wednesday 25 September 2013

teduhan saya =)

Alhamdulillah,
akhirnya segala proses utk memiliki 'teduhan' hak milik sendiri telah berjaya selesai dgn segala kehendak dan keizinan-Nya. so la nih hanya tunggu masa utk amik kunci and moving in. hihiii... tak sabor ler pulok. astagfirullah =P

bagitau 'orang2 tua', ini antara komen mereka:

- awat la beli umah mahai sangat? kecik kenit ja pun? buat la kat tanah abah tu, blaaa... bla... bla...
- awat tak tanya abah dulu? beli umah ceruk ja pun... bla...blaa...
- tunggu 2-3 thun lagi la, amik ja salah sebuah umah yg kami nak develop tu.... bla..blaa..
- jgn beli besaq sangat, tunggu sat projek kami siap..  blaa. . bla...

adoyai, macam2 kannnn!!! hihiii... biasalah, zaman dulu tak macam zaman la nih. keadaan mendesak, tak boleh nak tunggu2 lagi. satgi lagi mahai kot tak mampu langsung. lagipun tanah yg ada, tak basi, isok2 ada rezeki lebih, kita wat la sendiri pulak. umah hok le nih, investment! hahahaaaa...

tp memang betoi la, kecik kenit ja umah yang kami beli nih. tp bagi aku, cukuplah utk kami anak beranak. besaq sangat satgi tak larat sapu lak, dah la karier aku sangat 'menyibukkan'. =P

our new home, inshaAllah =)
yaaaa... inilah dia bakal umah kami tu, inshaAllah... la nih dok tunggu CF saja. buleh la no tera nih. tepi n blakang ada tanah lebih lagi, buleh la habuan nak tambah bilikq ayaq ka dapoq ka kot ada rezeki lebih... hihiii....

la nih, reja aku dok berangan, berangan dan berangan sajalah. tak senonoh betoi la. orang beli banglo 8 tingkat pun tak kuat berangan cam aku... muahahaaa...

oklah utk setakat ini, semoga segala urusan kami dipermudahkan dan thank you ALLAH =)