Oleh Shuhaida Mohd Said
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Konflik dalaman seperti rasa marah dan dendam tidak terbendung menjadi pendorong kepada perlakuan berulang jenayah kejam dan seksual yang sering dikaitkan dengan masalah psikologi khasnya gangguan personaliti.
Pakar Psikologi Berkanun Fakulti Perubatan Universiti Malaya Profesor Dr Low Wah Yun berpendapat selagi pelaku bebas berada di kalangan masyarakat, persekitaran tidak akan selamat dan sentiasa berada dalam keadaan terancam.
"Selain itu kegagalan untuk mengesan pelaku juga menjadi pendorong kepada perlakuan jenayah yang berulang. Ia seolah-olah memberi satu kepuasan kepada pelaku untuk mengulangi jenayah tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Oleh itu, katanya usaha yang lebih agresif perlu dijalankan bagi mengesan pelaku tersebut demi memastikan persekitaran kembali normal dan tindakan khusus yang sewajarnya perlu diambil untuk merawat keadaan yang berbahaya itu.
"Bagi pesalah yang mempunyai masalah psikologi, terapi yang khusus perlu diberikan supaya gangguan personaliti yang mereka hadapi dapat dirawat dan membantu mereka menilai baik buruk perbuatan yang dilakukan.
"Kadangkala mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka adalah salah dan hanya `menikmati' perlakuan jenayah sebagai cara tersendiri untuk memuaskan diri atau `meredakan' penyakit psikologi mereka itu," katanya ketika memberi pandangan mengenai suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan di Petaling Jaya.
Dr Low berkata adalah penting untuk memastikan pelaku sedar akan kesan tindakan mereka kerana setiap perlakuan jenayah itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri malah seluruh lapisan masyarakat.
Selain itu Dr Low juga berpendapat modus operandi suspek yang sama setiap kali melakukan jenayah sebenarnya dapat membantu pihak berkuasa dalam mempercepatkan penyiasatan mereka.
"Selagi tidak ditangkap, suspek akan terus mengulangi perbuatan jenayah tersebut. Oleh itu pihak berkuasa perlu mempercepatkan siasatan dan menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.
Penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim pernah dilaporkan sebagai berkata adalah sukar untuk mengenal pasti ciri-ciri atau perwatakan khusus pelaku jenayah ini kerana pada pandangan umum, mereka adalah manusia normal yang bergerak bebas di kalangan masyarakat.
Beliau berkata ia boleh jadi sesiapa sahaja tanpa mengira status, latar belakang sosial, jenis bangsa, agama atau peringkat umur tertentu.
Dalam kejadian Isnin lalu, Nur Fatiha Zaidi, 6, diculik di Flat Seri Manja, Desa Sepakat, Kampung Medan selepas dikatakan diumpan oleh seorang lelaki bermotosikal untuk melihat kucing dan burung.
Kanak-kanak yang dilaporkan hilang pada pukul 5 petang itu ditemui semula kira-kira tiga jam kemudian ketika merayau-rayau di sekitar Wangsa Maju di sini.
Semalam satu lagi kes dilaporkan di Taman Medan apabila seorang kanak-kanak, Sharlinie Mohd Nashar, 5, dilapor hilang ketika bermain bersama kakaknya di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka pada pukul 11.30 pagi.
Polis mengklafisikasikan kes itu sebagai kes hilang tetapi tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan kes penculikan Nur Fatiha dan kes cabul membabitkan kanak-kanak perempuan di Kampung Baru pada Julai tahun lepas berdasarkan modus operandi yang sama.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment