Monday 14 January 2008

kita imbas kembali..

Jangan Buang Masa Debat Hukuman Terhadap Perogol, Kata Penganalisis

Oleh Shuhaida Mohd Said

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim berkata perbahasan mengenai pindaan hukuman penjara dan sebatan terhadap perogol "hanya membuang masa".

Sebaliknya, kata beliau, tumpuan sekarang perlu dialihkan kepada tindakan untuk mengurangkan bilangan mangsa, dan cara paling berkesan ialah dengan mendidik kanak-kanak dari peringkat awal.

"Menjadi tanggungjawab utama ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya dapat menjauhi situasi yang boleh menyebabkan mereka terjerumus seterusnya menjadi mangsa jenayah seksual," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada perhimpunan agung Parti Progresif Rakyat (PPP) baru-baru ini, parti itu meluluskan usul meminta kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi memasukkan peruntukan hukuman mati terhadap perogol kanak-kanak.

Parti itu berpendapat hukuman sedia ada mengikut Kanun Keseksaaan iaitu penjara maksimum 20 tahun dan sebat masih tidak mampu untuk menakutkan penjenayah.

Kamal, penganalisis jenayah yang diiktiraf oleh International Association of Crime Analysts, berpendapat tanggungjawab itu tidak boleh dibebankan kepada mana-mana menteri atau polis kerana kanak-kanak berada dalam kawalan ibu bapa.

Katanya adalah sukar untuk mengenal pasti ciri-ciri atau perwatakan seseorang penjenayah seksual, kerana pada pandangan umum mereka adalah manusia normal dan bergerak bebas.

"Oleh itu ibu bapa perlu bijak memilih corak didikan yang sesuai supaya anak-anak dapat memahami dan mempunyai keupayaan membuat perbandingan antara situasi yang selamat dan sebaliknya," katanya.

Kamal berkata ibu bapa juga perlu peka mengenai pendidikan seks agar mereka boleh memberi penerangan kepada anak-anak kerana tanggapan bahawa pendidikan seks adalah perkara yang memalukan, perlu diubah.

"Kanak-kanak perlu didedahkan mengenai soal jenayah seksual kerana ini membabitkan masa depan mereka. Berterus teranglah kerana ibu bapa adalah individu yang paling hampir dan sesuai untuk mendekati anak mereka," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata berdasarkan statistik Bukit Aman, terdapat peningkatan dalam jenayah rogol sejak tiga tahun lepas membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah, dengan majoritinya kaum Melayu.

Katanya 1,274 kes rogol dilaporkan pada 2005, meningkat kepada 1,708 pada 2006 dan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, 1,327 kes dilaporkan.Dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, bilangan kanak-kanak Melayu yang menjadi mangsa ialah 1,056, diikuti Cina 95, India 56 dan lain-lain 120.

-- BERNAMA

No comments: