Saturday 3 February 2007

Permintaan Terakhir Pasangan Adik-beradik Di Hari Wilayah

Oleh Ayudalita Pendek - rakan seperjuangan dlm dunia kewartawanan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Ibarat tangisan dalam ketawa. Itulah perasaan ibu pasangan adik beradik Atikah Amirah Md Nizam, 13, dan Ahmad Nazmi, 8, yang menghidap penyakit saraf "Spinal Muscular Atrophy Type 2" sejak kecil ketika melihat aksi riang mereka yang berpeluang merasai sendiri kemeriahan perarakan sempena sambutan Hari Wilayah ke-33 di sini hari ini.

Berbeza dengan ribuan warga kota lain yang turut mengikuti pelancaran sambutan itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, acara itu mungkin yang terakhir bagi kedua beradik itu kerana keadaan mereka yang disahkan doktor semakin serius dan ekoran tiada penawar bagi penyakit itu.

Ibu mereka, Hamidah Abdul Aziz, 37, berkata beliau terpaksa menghadapi risiko membawa kedua-dua anaknya menyaksikan sambutan itu di Dataran Merdeka semata-mata bagi memastikan mereka bergembira, dan yang penting melihat keletah dan ketawa mereka yang menjadi penawar kepada dirinya juga sepanjang menjaga mereka.

"Lagipun ini permintaan mereka sendiri. Memang saya bimbang tetapi yang penting saya dapat tunaikan permintaan mereka yang mungkin menjadi permintaan terakhir," katanya sayu sambil melihat gelagat riang kedua-dua anaknya itu yang berkerusi roda dan tidak henti-henti melambai kepada setiap anggota kontingen yang menyertai perarakan sambutan itu.

Menurutnya bagi mengelakkan perkara buruk, semua bekalan ubat dan peralatan perubatan anak-anaknya itu turut dibawa bersama, terutama kerana baru-baru ini anak keduanya Atikah, mengalami sesak nafas dan doktor menasihati agar mengurangkan aktiviti luar.

Hamidah berkata bagi memastikan anak-anaknya selesa mengikuti perarakan itu, suaminya Md Nizam Md Som, 39, seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), membuat tinjauan terlebih dahulu di Dataran Merdeka bagi mencari laluan sesuai untuk menolak kerusi roda dan menempatkan mereka.

"Sudah jadi kelaziman kepada suami saya untuk tinjau dahulu tempat yang hendak dibawa mereka berjalan-jalan, kalau-kalau ada kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Hamidah berkata hari ini, suaminya yang tidak dapat menemaninya kerana perlu bertugas, telah menghantar mereka seawal 6.30 pagi untuk memastikan mereka mendapat lokasi yang sesuai.

"Tetapi saya sedikit kecewa kerana anak-anak saya tidak berpeluang menyaksikan perarakan dengan lebih dekat kerana dihalang penonton," katanya yang berhenti kerja bagi memastikan dua daripada tiga anaknya itu yang disahkan menghidap penyakit berkenaan berpeluang bersekolah di Sekolah Khas Seri Indah di sini.

"Akak terpaksa berhenti kerja semasa usia Atikah dua tahun lagi kerana penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan. Bukan sahaja terpaksa menguruskan persekolahan mereka setiap hari malah menguruskan makan dan minum," katanya.

Beliau berkata selepas doktor mengesahkan penyakit itu tiada penawarnya, sebagai ibu beliau hanya berupaya memberikan kasih sayang dan perhatian sewajarnya.

"Disebabkan tiada ubat, Atikah dan Ahmad hanya sekadar menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya yang mengakui menerima hakikat akan kehilangan anaknya itu pada bila-bila masa sahaja.

"Doktor sendiri telah menasihatkan akak untuk menerima pelbagai kemungkinan," katanya.

Sementara itu, ribuan warga kota membanjiri Dataran Merdeka hari ini, untuk menyaksikan perarakan yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Wilayah dengan menampilkan kira-kira 95 kontinjen termasuk pasukan pancaragam sekolah, kakitangan kerajaan dan swasta serta kontinjen perumahan awam, selain perarakan kenderaan seperti kereta mini, motor Vespa dan kenderaan DBKL.

Kontinjen DBKL muncul johan acara perbarisan bagi kategori agensi kerajaan bukan uniform, manakala kontinjen Kadet Bomba dan Penyelamat Sekolah Menengah (SM) Agama Kuala Lumpur juara kategori Sekolah Beruniform; dan SM (P) Kuen Cheng muncul juara kategori Pancaragam Sekolah.

Sambutan bertemakan "Maju dan Sejahtera" itu berlangsung selama sebulan.
-- BERNAMA

*we should be grateful for being healthy and hidup bahagia di bumi Tuhan ini... Alhamdulillah...

No comments: