Friday 8 August 2008

Import.. export...

Khidmat Pemain Import Masih Relevan
by: shuhaida mohd said

ALOR STAR, 7 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini diminta mengkaji semula langkah tidak membenarkan persatuan negeri dan kelab menggunakan khidmat pemain import musim depan.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Hijaukuning (HKC), Romzie Hasan Hussin berkata keputusan itu amat merugikan kerana ia memberi kesan negatif kepada perkembangan arena bola sepak tempatan.

Romzie berkata aksi seseorang pemain import dapat mengubah corak permainan sekaligus mampu menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan sesuatu perlawanan seterusnya menguntungkan pasukan dan FAM.

Katanya penonton lebih tertarik untuk menyaksikan corak permainan dan sekiranya pemain import tidak diturunkan, perlawanan akan menjadi suram dan hilang tarikan.

Sementara itu, aksi cemerlang penyerang import Kedah, Marlon Alex James terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai antara penjaring gol terbaik dunia.

Berdasarkan ranking dikeluarkan oleh Statistik dan Sejarah Persekutuan bola sepak Antarabangsa, IFFHS, Marlon kini berada di tangga ke 35 senarai penjaring gol terbaik dunia.


Fakta itu menunjukkan khidmat pemain import masih relevan dan kenyataan kononnya pemain import tidak menyumbang kepada peningkatan bola sepak tempatan sebenarnya jelas bukan satu alasan yang kukuh.

Lebih membanggakan, kedudukan Marlon jauh lebih baik berbanding beberapa pemain ternama Eropah seperti Micheal Ballack, Salamon Kalou, Fernando Torres, Frank Ribery dan Dirk Kuyt.


Kejayaan tersebut membuktikan bahawa sumbangan pemain import bukan sahaja menguntungkan persatuan negeri malah mampu meningkatkan imej bola sepak tempatan di persada antarabangsa.

Pencapaian pemain import tersebut bukan sahaja melakar sejarahnya yang tersendiri malah mencetus impak positif ke arah membentuk liga yang lebih kompetitif dan setanding dengan kuasa besar bola sepak dunia.

Sumbangan pemain import lain seperti Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Corneules Bernard Hugging dalam pasukan Kenari jelas memberi kesan dalam memperkasakan kekuatan barisan skuad Kedah yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.
-- BERNAMA










No comments: